Thursday, December 24, 2009

PENGHIJRAHAN

Tahun hijrah 1430 sudah melabuhkan tirai dan muncul pula 1431. Bermakna angka usia semakin bertambah dan baki usia kita semakin berkurang. Bagaimanapun bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk meneruskan perjalanan kehidupan. Berlalunya tahun demi tahun ini adalah sebahagian daripada proses penghijrahan.
Sebagaimana yang umum sedia maklum bahawa hijrah itu diertikan dengan berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, atau ditafsirkan juga sebagai berpindah dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain, seperti dari sifat buruk kepada sifat yang baik, dari sifat pemarah kepada sifat pemaaf, dari sifat suka membuang masa kepada sifat menghargai masa dan pelbagai keadaan lagi. Semua tafsiran tentang hijrah sentiasa ini berlaku di dalam kehidupan seseorang. Proses hijrah ini sentiasa memberi makna dan pengalaman kepada setiap orang. Malahan ada sesetengah orang merasakan setiap peristiwa yang berlaku di dalam kehidupannya adalah suatu penghijrahan yang telah memindahkan dirinya kepada suatu keadaan yang lebih baik.
Pengalaman hijrah kehidupan aku sangat unik dan menarik untuk dikenang. Sebahagian besarnya telah membentuk diri aku seperti sekarang. Aku masih ingat pengalaman hijrah pertama dalam kehidupanku, berjalan beriringan menuruti belakang ibu,kakak,abang dan adik aku pada waktu malam melalui jalan denai rumah ayah ke rumah datuk yang jaraknya lebih kurang 500 meter. Menurut ibu, usia aku ketika itu 3 tahun. Saya tidak dapat mengingati apa yang berlaku di rumah ayah sebelum perjalanan malam itu, aku cuma ingat berjalan malam, terkedek-kedek di belakang ibu untuk pergi rumah datuk. Keesokannya aku terus berada di rumah datuk bersama ibu, kakak, abang dan adikku. Pada usia 3 tahun aku memang tidak dapat memikirkan permasalahan kehidupan, aku hanya tahu seronok bemain di rumah datuk, bila penat aku tidur, bila lapar aku makan dan bila aku nakal kena marah. Aku tidak dapat mengingati semua peristiwa yang berlaku pada waktu itu, tetapi yang pasti aku telah tinggal di sebuah rumah di belakang rumah datuk aku. Mungkin datuk membangunkan rumah tersebut untuk ibu dan anak-anaknya berteduh dari hujan dan panas.
Bila usiaku meningkat kepada 5 tahun baru aku memahami bahawa ibu dan ayah telah berpisah sebagai suami isteri. Aku masih ingat di hadapan rumah ayah ada tiga pohon limau yang buahnya sangat lebat pada setiap kali musimnya, menurut ibuku pada malam itu ayahku sangat marah kepada kakakku kerana tidak mengawal aku dan abang aku yang memanjat pagar pohon limau dan memetik buah limau yang belum matang. Banyak buah limau yang rosak, apabila ayah dan ibuku balik dari menoreh getah, ayah tengok buah limau banyak rosak.Ayah menyalahkan kakak dan memukul kakak. Kakak dipukul teruk oleh ayah gara-gara buah limau rosak itu. Ibu tidak dapat menerima tindakan ayah memukul kakak secara keterlaluan maka berlakulah perselisihan faham antara ibu dan ayah yang akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa ibu keluar dari rumah ayah dan membawa kami semua dan berlakulah apa yang aku namakan sebagai penghijrahan malam dan merupakan nostalgia penghijrahan pertama dalam hidupku. Sampai kini perjalanan malam itu bermain-main difikiranku.
Bila aku kenangkan semua peristiwa itu, aku membuat rumusan sendiri bahawa dengan hijrah pada malam itu telah mendidik aku menjadi seorang yang tabah dalam menjalani perjalanan hidup.......... to be continue

1 comment:

  1. assalamualaikum... sedihnya bila saya baca.penghijrahan malam itu...setiap yg berlaku adalah takdir(fate) tapi positifnya boleh diambil untuk mendidik diri menjadi seorang yang tabah dan sabar.. saya tunggu sambungan seterusnya...

    ReplyDelete