Monday, April 5, 2010

HIKMAH SERANGKAI KUNCI

Pada tarikh 12 Mac 2010, ana dan zaujah seperti kebanyakan ibu bapa lain, sama-sama meraikan percutian pertengahan semester pertama. Zaujah telah menyatakan hasrat balik ke Lepih untuk mengambil peluang menjaga ayah yang sedang sakit. Sudah hampir dua bulan ayah terlantar, selama 20 hari di hospital Lepih dan sudah hampir tiga minggu di rumah mak. Abang Njang, Kakak, Kak Zah dan Abang Lias silih berganti menguruskan ayah. Ana dan zaujah hanya dapat memainkan peranan pada hujung minggu sahaja. bagaimanapun ana sangat respect dengan abang njang yang sanggup cuti tanpa gaji sebulan, begitu juga kakak dan abang Lias yang sentiasa sabar menjaga dan menguruskan keperluan ayah yang hanya terbaring, tidak bergerak kecuali helaan nafasnya sahaja yang mengesahkan hayat ayah masih ada. selagi dia bernafas selagi itu tanggungjawab mesti ditunaikan. Ana juga sangat teruja kerana kesudian mak membenarkan ayah dijaga dan diuruskan dirumahnya walaupun mereka sudah tidak punya hubungan suami isteri sejak sekian lama.
Pada 13 Mac 2010 kami bergerak selepas solat subuh di rumah di Sungai Soi menuju ke rumah abah di Ulu Cheka kerana pada 14 Mac 2010, abah mengadakan kenduri perkahwinan anak tirinya. Selesai majlis kami bergerak ke Kg. Lanar untuk menjaga ayah. malam tu mak pesan pada ana, bila time nak tidur " awak nak tidur di mana ?, ana jawab , " tak pasti lagi", mak membalas, pegi tidur dekat ayah awaklah, mak tengok ayah awak tu lain dah gayenye " . Ana menurut cakap emak dan ana tidurlah di sisi ayah bersama kakak dan abang Lias. Tengah malam setelah ana terjaga dari tidur ana dengar abang Lias cakap dengan kakak, " tak boleh tinggal dah ayah ni " lalu ana pun bangun, mandi dan membaca Al Qur'an di sisi ayah sehinggalah waktu subuh. Ana telah membuat keputusan untuk bercuti pada 15 Mac 2010. Pada 16 Mac 2010 ana bergerak untuk pulang ke Kuantan dan dalam perjalanan ana singgah di SMKA TAHAP untuk mendapatkan maklumat peperiksaan SPM 2009. Pengetua bercuti, GPK Pentadbiran datang untuk berbincang mengenai analisis SPM 2009. Target ana selepas ini untuk singgah di SMK Seri Taulang Temerloh untuk membincangkan tawaran Fully KAA. Semasa perbincangan, zaujah ana menelefon menyatakan dia dan anak-anak dah balik rumah di Lepih tapi tak boleh masuk rumah kerana kunci rumah dalam kereta yang ana pandu. Ana cadangkan supaya zaujah pulang semula ke Kuala Lanar, dan tunggu sehingga ana balik. Selesai di SMKA TAHAP, Ustaz Aziz dan Ustaz Wahab Penyelia Pendidikan islam PPD Jerantut ajak ke pejabat. AKhirnya ana buat keputusan tak jadi balik Kuantan dan tidak jadi pergi SMK Seri Tualang dan balik semula ke Kuala Lanar. Petang itu anak sulung ana menelefon dia akan pulang ke Lepih dari Kuala lumpur. Peteng itu juga isteri Abang Baha dan anaknya datang menziarahi ayah. Setelah melihat keadaan ayah Ana mohon izin dengan kakak, abang njang dan mak untuk balik ke Lepih. Ana sekeluarga balik ke lepih, menengok rumah yang dah lama tak dijenguk. Niat ana nak balik semula ke Kuala Lanar dan bermalam bersama ayah tetapi entah macam mana, kami akhirnya tidur di Lepih malam itu.
Pukul 1.30 pagi ana bangun,bersolat isyak dan berzikir dan pada pukul 2.45 pagi kak zah menelefon memaklumkan ayah sudah kembali ke rahmatullah. Terasa sesal ana tidak bermalam di sisi ayah pada malam itu.Bagaimanapun ana bangunkan zaujah dan anak-anak untuk balik ke Kuala Lanar.Anak sulung ana tidak sempat bersama aki nya di penghujung usia. kakak pun menyatakan dia pun tertidur seketika dan terjaga ayah sudah dipanggil oleh Allah menemuinya.
Ana menghubungi ahli keluarga yang sepatutnya dan berbincang dengan kakak dan abang untuk urusan pengebumian pada esoknya. Ana meminta anak sulung membacakan ayat-ayat suci Al Qur'an untuk dihadiahkan kepada rohnya.
Abang menyatakan, " mujurlah awak tak jadi balik ke Kuantan, kalau tidak ! payah juga urusan ini, nak menunggu awak sampai, awak pulak mungkin terkejut dan mungkin tergesa-gesa dalam perjalanan, Syukurlah " . Segalanya kita hanya menyusuri taqdir Allah dan itulah hikmah serangkai kunci sebagai asbab untuk dipermudahkan pengurusan jenazah ayah. dari memandikan, mengkapankan, menyembahyangkan mengebumikan dan mentalqinkan, ana cuba melakukan yang paling baik sebagai hadiah ana kepada arwah. Semoga Allah mengampuni ana, atas segala kekurangan pengurusan itu. Terima kasih juga di atas segala jasa dan pengorbanan ibu, abang njang, kakak, abang Lias, kak Zah, zaujah ana, cucu-cucu arwah , habya Allah yang memberi balasan yang setimpal dan doa serta harapan Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayah dan ditempatkan bersama para solihin. Al fatihah.

Tuesday, March 23, 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH ORANG BUKAN ISLAM

Pada tarikh 31 Disember 2009, kita semua dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald – The Katholik Weekley untuk menggunakan kalimah Allah dalam penyampaian mereka. Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.
Bermula dari situ isu ini menjadi polemik dikalangan masyarakat. Ada umat Islam yang sangat sensitif dan emosional bertindak secara agresif, ada yang buat tak kesah, ada yang terpinga-pinga dan kebingungan. Pelbagai pendapat dan pandangan memenuhi ruang media, daripada media massa, media elektronik dan paling popular sekarang di laman-laman sesawang, internet, facebook, masing-masing berhujjah dan berpolemik.

Ada yang mengelirukan, ada yang sesat lagi menyesatkan, implikasinya masyarakat semakin keliru dan tertanya-tanya.

Polemik perlu dilihat pada beberapa sudut dan dibincangkan secara ilmiah supaya masyarakat tidak terus keliru.Ada beberapa aspek yang dijelaskan dengan hujjah yang adil dan bijaksana dan menuntut keikhlasan semua pihak untuk akur dengan kebenaran isu yang ditimbulkan.

1. Pada mulanya isu ini seperti ada agenda tersembunyi yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang berpentingan.Ada setengah pihak yang menjaja isu ini untuk meraih perhatian bahawa mereka adalah juara isu. Melihat sensasi berita yang dipaparkan tidak mustahil ada agenda tersirat di sebalik yang tersurat oleh golongan tertentu yang berkepentingan tadi.

2. Isu ini juga telah menzahirkan dan menyerlahkan kedangkalan dan kecetekan ilmu agama bagi umat Islam. Ada golongan yang cuba menjuarai isu ini melakukan provokasi sehingga tercetusnya suasana tidak terkawal pada sebahagian masyarakat yang dangkal ilmu agamanya. Semangat mereka memuncak sehingga berlaku beberapa tindakan negatif yang boleh mengundang huru hara dan kekacauan. Mereka mula merentang sepanduk dan berkumpul di tempat-tempat tertentu menyatakan perasaan tidak puas yang tidak tahu pangkal punca isu . Sebahagiannya bersemangat berkobar-kobar tapi mereka ini juga yang tidak melaksanakan tuntutan perintah Allah. Mereka sibuk terjerit-jerit menentang penggunaan kalimah Allah tetapi mereka tidak bersembahyang. Mereka tidak menunjukkan akhlak sebagai seorang Islam yang penuh tertib dan berhati-hati dalam menyentuh isu yang sensitif.

3. Isu ini dianggap suatu kemajuan dalam kehidupan beragama kerana orang bukan Islam sudah mula mahu menyebut nama Allah, maka secara positifnya akan terbuka pintu hidayat Allah. Apa salahnya mereka nak menyebut nama Allah, mudah-mudahan dengan sebab itu hidayat Allah akan terpancar ke dalam lubuk jiwa mereka. Lagipun kalimah Allah bukan hak mutlak dan eksklusif umat Islam khususnya di Malaysia.

4. Isu ini juga menempelak umat Islam sendiri yang sudah jauh dengan agama mereka sehingga orang lain sudah mula kembali kepada fitrah beragama.Orang bukan Islam terutama Yahudi dan Nasrani telah mula kembali kepada Allah, orang Islam pula semakin jauh dengan Allah. Mereka telah dilekakan dengan hiburan, sukan dan kehidupan material yang lain sehingga mereka lalai melaksanakan tanggungjawab kepada Allah. Terlalu ramai umat Islam yang lupakan Allah. Dalam satu Jabatan berpuluh orang umat islam tidak menunaikan sembahyang pada setiap hari, dalam sebuah stadium menyaksikan perlawanan sukan berpuluh ribu orang yang sembahyang mereka tergadai, di sebuah bandar beratus dan beribu orang umat Islam yang tidak bersembahyang. Agama Islam adalah agama praktikal bukan teori semata-mata. Kalau tahu menyebut Allah tapi tidak bersembahyang dan melakukan ketaatan kepada perintah Allah yang lainnya, apalah makna Islamnya itu, apakah tidak ada persamaam dengan Herald – The Katholic weekly yang mahu menggunakan kalimah Allah tetapi mereka tidak mengakui kebesaran Allah.

5. Isu ini membuka ruang dan peluang untuk umat Islam kembali memuhasabah diri dan perlu menggali dan mengulang kaji semula khazanah ilmu Islam yang semakin dipinggirkan. Hikmahnya isu ini adalah menyuntik semula motivasi umat Islam supaya mengkaji semula kitab-kitab Islam peninggalan Rasulullah, para sahabat dan ulama’ terdahulu. Mutakhhir ini umat Islam semakin hilang roh munakasyah ilmu. Kalau ada pun tidak dipedulikan sangat oleh umat Islam. Bila isu ini mula dipolemikkan maka adalah segelintir umat Islam yang mula kembali kepada jati diri semarak ilmu ulamak terdahulu.

6. Isu ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam malahan akan merosakkan akidah umat Islam. Memang sepatutnya umat Islam perlu mengambil satu pendirian tegas supaya isu ini tidak di eksploitasi oleh orang bukan Islam yang bertujuan menghancurkan dan memporak purandakan umat Islam.

Melihat kepada enam aspek yang dinyatakan di atas maka diperincikan dengan nas-nas Al Qur’an dan Hadith merumuskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Perkataan Allah adalah lafzul Jalalah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).
“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu “berbilang tuhan”.Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Saidina Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:
(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.
Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.
Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Rumusannya bahawa perkataan Allah bukan hak mutlak dan eksklusif umat Islam namun penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam boleh menimbulkan banyak implikasi. Jika mengikut kaedah Feqah : menutup terus pintu jika ada perkara yang boleh membawa kepada kekeliruan.Di antara implikasi lain yang akan timbul ialah,kesucian kalimah Allah akan terjejas dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam jika kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam.Umat Islam dituntut melakukan titah perintah Allah dan menjauhi laranganNya di samping umat Islam juga mesti memperkasakan ilmu Islam supaya dapat menjadi umat yang matang dan bijaksana.

Tuesday, January 12, 2010

KERJA SEBAGAI IBADAH - AZAM BARU 1431H/2010M

PENGERTIAN KERJA

Kerja merupakan : Kesungguhan yang dilaksanakan oleh manusia untuk mendapatkan ganjaran atau upah .
Manakala Ibadah bermaksud :Kepatuhan dan ketaatan kita kepada ketinggian dan kekuasaan Allah yang diiringi kesanggupan menyerah diri kepadanya.

Apabila digabungkan keduanya boleh diertikan sebagai tugas dan tanggungjawab untuk meraih pendapatan dan keredhaan Allah.

KERJA SEBAGAI IBADAH

Segala tindakan dan kerja hendaklah berorientasikan ciri-ciri dan nilai-nilai kerja sebagai amal soleh dan bersifat bersepadu antara duniawi dan ukhrawi, rohani dan jasmani.

Surah Al Jumuah Ayat 10 :

" Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)."


KATEGORI KERJA SEBAGAI IBADAT

1.Bekerja untuk keperluan diri.
2.Bekerja untuk keperluan keluarga.
3.Bekerja untuk keperluan masyarakat
4.Bekerja untuk memakmurkan bumi Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada orang mu’min yang bekerja (Hadith)”.

CIRI-CIRI KERJA SEBAGAI IBADAT

1.Niat yang ikhlas.
2.As Siddiq
3.Berteraskan iman dan taqwa.
4.Tidak meninggalkan kewajiban beribadat kepada Allah.
5.Pekerjaan yang halal.
6.Dilaksanakan dengan cekap dan bersungguh-sungguh.
7.Berasaskan prinsip syari’ah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab.
8.Menghasilkan kerja yang berkualiti

IMPAK KERJA SEBAGAI IBADAT

1.Menerima tiga jenis balasan :
i. Mendapat ganjaran yang setimpal
ii.Mendapat nikmat kepuasan bekerja
iii.Mendapat ganjaran pahala
2. Merangsang motivasi kerja.
3. Menjadi seorang yang proaktif dan berintegriti.
4. Sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang kemungkaran dan aktiviti tidak bermoral .
5. Menjadi pekerja yang berprestasi tinggi

TUNTUTAN PENTING DALAM MELAKUKAN IBADAH

1. Memastikan ibadah mempunyai hubungan dengan Allah. Merujuk kepada martabat ihsan dalam ibadah sebagaimana sabda nabi : “ Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya, jika kamu tidak melihatnya (sekalipun ) sebenarnya dia melihat kamu.
2. Melakukan ibadah dengan penuh khusyuk sehingga dapat merasai kelazatan dan kemanisan, malah mendatangkan kekuatan pada diri untuk berterusan mengerjakan.

PRINSIP-PRINSIP MENIGKATKAN PRESTASI KERJA SEBAGAI IBADAT

1. ILMU
2. IKHTIAR
3. ISTIQAMAH
4. ADIL
5. IHSAN
6. TAWAZUN
7. QANA’AH
8. SYURA
9. HALAWATUL IMAN
10. SABIQU ILAL KHAIRAT
11. MENJAUHI KEMUNGKARAN
12. USWATUN HASANAH

Kalau sekedar bekerja, bukankah semua orang melakukan, umat lain melakukannya? Bahkan kaum ateis pun bekerja. Lalu apa bedanya?Tentu ajaran bekerja para Nabi sangat berbeda. Bekerja dalam ajaran Islam adalah manifestasi dari iman. Bekerja adalah sebagai sebahagian dari ibadah. Sedang bagi umat yang lain, mungkin hanya sekedar mengisi waktu, mengejar harta, dll. ( Warsono )

Bertekad dan berazamlah, jadikan tahun baru 1431H/ 2010M dengan azam berkerja sebagai ibadah. Selamat Beribadah dengan semua kerja yang dibenarkan syari'at sepanjang 1431H/2010M.