Wednesday, December 30, 2009

HIJRAH DIRI DAN JIWA

Penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah berlaku didorong oleh beberapa factor iaitu factor menolak dan factor menarik. Faktor menolak di antaranya tekanan yang semakin melampau dari kafir Quraish, penghinaan, cercaan, siksaan malahan ancaman dan kemuncaknya rancangan membunuh nabi . Demi menyelamatkan iman, islam dan akidah maka berlakulah peristiwa hijrah yang bersejarah itu. Factor menarik pula adalah sikap dan kesediaan orang Madinah untuk menerima kedatangan Nabi dan Islam ke bumi Madinah .
Di dalam kehidupan ini kita kadang-kadang terdorong oleh factor menolak dan factor menarik ini untuk melakukan penghijrahan. Bagi diriku factor-faktor ini sangat rapat dengan persekitaran kehidupan yang aku tempuhi. Sewaktu aku tinggal bersama ibu di rumah belakang rumah datukku, hidupku bahagia, gembira, seronok seperti kanak-kanak lain yang tidak pernah ada masalah. Walaupun rumah kampung tanpa bilik, berdinding buluh beratap rumbia dan berlantai papan dan buluh, tidur beralaskan tikar mengkuang aku rasa sangat bahagia.
Seingat aku, tidak pernah aku tidur di rumah ayakku sejak berpisah dengan ibukku. Bila aku memasuki sekolah darjah satu, ayahku sering memasuki kelas aku terutama semasa mata pelajaran seni lukis, kebetulan ayahku bekerja sebagai tukang kebun sambilan di sekolah tempat aku belajar. Lukisan yang ayah lukis dan masih terpahat diingatanku ialah lukisan seekor itik. Waktu itu baru aku terasa kewujudan ayah dalam kehidupanku. Bila balik sekolah aku akan balik ke rumah ibuku seperti kebiasaan. Juadah makan tengah hari yang disajikan oleh ibu adalah sambal bilis masak tempoyak dan ikan seluang goring. Itulah menu makan tengah hari di rumah ibu pada setiap hari, tapi aku tidak pernah bersungut. Pendek kata aku tidak merasakan kepayahan dan kesukaran yang dialami oleh ibuku.
Bila datukku meninggal, rumah datuk diduduki oleh ibu saudaraku yang aku panggil Mak Chu, adik bongsu ibukku berlainan ibu. Mungkin rumah itu hadiah datuk kepada Mak Chu sekeluarga. Setelah beberapa tahun datuk meninggal, aku sudah tidak betah lagi masuk ke rumah peninggalan datuk kecuali jika Mak Chu mempelawa sesekali untuk makan dan bermain dengan sepupuku di rumah tersebut. Lama kelamaan aku mula rasa janggal dan asing untuk datang ke rumah itu. Padahal aku teringin sangat untuk masuk ke rumah itu, rumah itu memang besar dan selesa, tapi apakan daya. Aku hanya bermain di sekitar halaman rumah itu. Terbetik di hati, alangkah indahnya kalau aku adalah penghuni rumah itu. Mungkin kerana aku dah bosan tinggal di rumah beratap rumbia berdinding buluh yang kadang-kadang bocor dan tempias bila hujan turun. Tapi itu hanyalah gejolak perasaan seorang kanak-kanak yang mula meningkat usia.
Sewaktu aku berada dalam darjah tiga, Mak Chu berhijrah ke Jengka kerana menjadi peneroka apabila pembukaan tanah rancangan Jengka. Ibuku membawa kami berpindah ke rumah Mak Chu yang sudah kosong. Menurut Ibu, Mak Chu telah menjualkan tanah dan rumah itu kepada ibu. Aku adalah orang yang paling bahagia, bak kata orang impian menjadi kenyataan.Pastinya tidurku lebih lena dan nyenyak di rumah beratap zink, berdinding papan, berlantai papan, ada ruang dapur berasingan dengan ruang tidur, ada bilik-bilik dan ada beranda tempat aku bermain. Aku tidak pernah ambil peduli dari mana ibu dapat duit untuk bayar harga rumah dan tanah kepada Mak Chu, yang aku tahu ibu menorah getah yang luasnya hanya tiga suku ekar pusaka peninggalan arwah datuk. Sehinggalah pada suatu malam ibu bercerita dengan anak-anaknya selepas makan malam. Menurut ibu hari ini Pak Ngah kamu nak datang ke rumah nak bincang hal rumah dan tanah yang kita tinggal ini. Kamu semua diam-diam dan masuk tidur. Sebenarnya rumah dan tanah ini Mak Chu nak jual kepada ibu dengan harga tiga ratus ringgit, ibu dah bayar lima puluh ringgit. Begitulah cerita ibu kepada kami. Pak Ngah adalah abang sulung ibu yang tinggal di hujung kampung berhampiran rumah peninggalan arwah datuk. Pak Ngah ni, kira orang senanglah di kampong, rumah besar, kebun getah ada, sawah padi ada, kolam ikan pun ada, aku pun kadang-kadang pergi ke rumahnya bermain di sungai berhampiran rumahnya, mengutip buah mempelam gugur dan masa makan di rumahnya.
Malam itu Pak Ngah datang bersama Pak We, seorang lagi adik beradik ibu. Aku mencuri-curi dengar perbualan ibu dengan Pak Ngah dan Pak We. Aku masih ingat Pak Ngah cakap rumah dan tanah ni aku dah beli dan aku dah bayar pada Pesah ( Mak Chu ) lima ratus ringgit. Ibu beritahu Pak Ngah, Mak Chu dah janji jual kepada ibu dengan harga tiga ratus dan dah bayar lima puloh ringgit. Pak Ngah cakap awak lambat sangat, Pesah tu nak pakai duit tunggu awak nak bayar baki tak tau bila. Saya ni orang perempuan, tak ada suami pulak, lambatlah sikit dapat bayar.
Perbincangan tu kadang-kadang tegang dengan suara berbalas-balas cakap dengan suara tinggi, aku tak pasti apa kesudahan perbincangan itu kerana aku sudah tertidur. Sesekali aku terjaga aku terdengar seperti suara ibu menangis tapi aku tidak mampu untuk bantu ibu. Keesokkan hari ibu menyatakan Pak Ngah dah beli tanah ini dari Mak Chu, dan kita kena keluar dari rumah ini, sementara itu Pak Ngah benarkan tinggal di rumah ini sebelum mereka berpindah. Walaupun aku masih sekolah rendah tapi aku dah dapat rasa kecewa, hati ibu lagilah pulak, hancur luluh, abang yang sepatutnya membantunya yang mengalami kesusahan sanggup melakukan tindakan yang tidak bertimbangrasa.
Bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi ibu membuat keputusan untuk pergi ke rumah adik lelaki bongsunya yang tinggal di kampong Dusun Kechau. Akhirnya ibu berangkat meninggalkan kampong dan pergi bersama adik lelaki dan kakakku. Aku dan abang tinggal bersama ayah. Mungkin ada perjanjian antara ibu dan ayah dalam membuat keputusan meninggalkan aku dan abang untuk tinggal bersama ayah. Mungkin kerana aku dan abang masih bersekolah, sedangkan kakak sudah berhenti sekolah sejak mula ayah dan ibu berpisah dan adikku masih belum bersekolah.
Berhijrahlah ibu membawa diri dan jiwa yang lara angkara sikap Pak Ngah yang tamak harta. Disangka saudara boleh membantu bahagia rupanya saudara sendiri mencipta petaka. Berlakulah satu lagi penghijrahan penting dalam kehidupanku, pertama kali berpisah dengan ibu,kakak dan adik dan pertama kali aku tinggal bersama ayah. Faktor menolak penghijrahan ibu sangat berbekas di hatiku, tapi aku yakin, hikmah Allah tetap terbentang di sebalik hijrah ini….. nantikan peristiwa hijrah seterusnya

2 comments:

  1. assalamualaikim ustaz lama kita tak bertemu mata
    apa pun kisah tadi memang kerap berlaku di kuala lanor kerana harta sanggup membuang saudara

    ReplyDelete
  2. tak pergi perjumpaan bekas guru dan pelajar sek men vokasional/teknik kuala lipis
    pada bulan 3 ni

    ReplyDelete