Friday, September 4, 2009

MADRASAH ROMADHON MELAHIRKAN INSAN BERTAQWA

Firman Allah dalam surah al baqaroh ayat 183 yang bermaqsud ; "Wahai orang-orang yang beriman difardhukan ke atas kamu semua berpuasa sebagaimana difardhukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu semua bertaqwa "
Menjadi matlamat dan tujuan Allah memfardhukan puasa adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Apakah yang dimaksudkan dengan TAQWA. Saidina Omar Al Khattab pernah bertanya kepada saidina Ubai bin Kaab berkenaan maksud Taqwa. Saidina Ubai berkata, " Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?"Jawab saidina Omar, " Ya pernah. " Saidina Ubai bertanya lagi, " apakah yang kamu lakukan ketika itu?" Omar berkata " aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh. " Berkata Ubai, " Itulah Taqwa. " Daripada jawapan ini dapat disimpulkan, Taqwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan Al Qur'an dan Sunnah.
Dalam surah Ali Imran ayat 102 hingga 103 , Allah mengarahkan mereka yang beriman supaya bertaqwa melalui firmannya yang bermaksud, " Wahai mereka yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai."
Sahabat Nabi, Abdullah bin Mas'ud mentafsirkan ' sebenar-benar taqwa ' sebagai ' melaksanakan taat dan jangan bermaksiat, sentiasa mengingatinya, jangan alpa, sentiasa bersyukur dan jangan kufur ' .
Apabila ciri-ciri ini dapat kita hayati, kita menjadi orang paling mulia di sisi Allah berdasarkan firmannya yang bermaksud, " Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah orang paling taqwa antara kamu."
Menjadi orang paling mulia di sisi Allah adalah menjadi impian dan harapan seluruh umat Islam yang beriman.Ada beberapa kriteria untuk menjadi yang bertaqwa, 1. Takut kepada Allah, 2. Beramal dengan Al Qur'an dan Sunnah Nabi, 3. Istiqamah dalam beramal, 4. Redho dengan sedikit dan bersyukur dengan anugerah Allah yang banyak, 5. Membuat persediaan untuk menghadapi kematian. Lima kriteria ini jika ada dalam diri dan jiwa umat Islam maka dia menjadi hamba paling Allah sayang. Romadhon inilah medan untuk kita memperkasakan ibadat masing-masing supaya lahirnya insan Taqwa daripada acuan Madrasah Romadhon.

No comments:

Post a Comment