Saturday, September 26, 2009

KESAN FISIOLOGI SOLAT

Solat adalah ibadat yang dilakukan kerana Allah. Namun sekiranya solat dilakukan secara yang betul dengan penuh khusyuk ia akan mendatangkan kebaikan di pelbagai sudut termasuk di sudut kesihatan.

Semasa melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan melatakkan dahi serta kepala mereka ke bumi. Mengikut kajian, kedudukan ini, sekiranya dilakukan dari masa ke semasa, ia baik baik bagi kecergasan otak. Bagi memahami aspek ini kita perlu mengetahui otak manusia menggunakan 25 peratus daripada oksigen yang terdapat dalam badan walaupun beratnya hanya 3 peratus daripada keseluruhan berat manusia. Dalam keadaan biasa sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekaligus melawan tekanan graviti.

Semasa sujud, umat Islam meletakkan kepala mereka ke bumi dan dalam keadaan begini jantung berada di kedudukan lebih tinggi daripada kepala sekaligus memudahkan darah turun ke otak dibantu oleh tekanan graviti. Dalam keadaan ini otak manusia menjadi lebih cergas dan fokusnya semakin mantap. Peter Russel dalam bukunya The Brain Book berpendapat, " Otak manusia beroperasi 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah ( inverted )."Seorang lagi pakar, Win Wenger, di dalam bukunya How to increase Your Intelligence, mengatakan, aktiviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah ( upside down activities ) meningkatkan kadar oksigen di otak sekaligus, secara fizikalnya, meningkatkan kemampuan otak itu. Sujud umat Islam yang dilakukan paling kurang 17 kali sehari semalam melalui solat fardhu, merupakan aktiviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah secara yang amat sederhana. Ia mampu dilakukan oleh semua orang, tidak kira yang tua ataupun muda dan kesannya kepada kesihatan memang tidak dapat disangkal lagi.

Solat juga membantu mengelok dan memantapkan sendi terutamanya bagi mereka yang mengidap penyakit radang sendi seperti osteoarthritis. Dalam artikel Chronic Pain: Exersice Can Bring Relief di MayoClinic.com, pakar-pakar di Mayo Clinic mengatakan senaman secara berterusan adalah penting bagi kesihatan sendi di samping mampu mengurangkan sakit. Hal ini disebabkan senaman meransang pengeluaran hormon endhorpin yang berfungsi mengurangkan deria sakit. Antara senaman yang boleh dilakukan adalah menggerakkan sendi melalui gerak badan dari masa ke semasa. Justeru solat memang bermanfaat kerana ia menggerakkan sendi-sendi badan termasuk tangan dan kaki secara sederhana.Seperti yang dinyatakan sebelum ini, solat fardhu yang lima terikat dengan waktu. Solat yang paling awal perlu dilakukan di waktu subuh, iaitu lebih kurang jam 6.00 pagi waktu di semenanjung Malaysia.

Sesetengah golongan mendakwa perlaksanaan solat subuh melemahkan badan kerana umat Islam terpaksa bangun awal dan ini menganggu tidur mereka. Sebenarnya perlaksanaan solat subuh tidak menjejaskan kesihatan kerana mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Barah Amerika, mereka yang tidur kurang daripada lapan jam setiap malam adalah lebih sihat daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam.Hasil kajian selama enam tahun yang melibatkan sejuta orang dewasa berumur antara 30 hingga 102 tahun, ini menunjukkan; mereka yang tidur enam hingga tujuh jam secara purata setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam ataupun kurang daripada empat jam setiap malam. Malah kajian ini juga mendapati mereka yang tidur lima jam setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur lebih daripada lapan jam.

Penemuan ini disokong oleh Institiut Kesihatan Kebangsaan Amerika dan ia dimuatkan dalam Archives of General Psychiatry bertarikh 15 February 2002. Di Malaysia, sekiranya seseorang masuk tidur pada jam 11.00 malam dan bangun pada jam 5.30 pagi bagi bertahajjud dan bersolat subuh, tidurnya selama enam setengah jam itu sudah termasuk dalam kategori yang menyihatkan.Lebih daripada itu, kajian menunjukkan mereka yang bangun tidur pada waktu yang sama pada setiap pagi adalah lebih sihat berbanding mereka yang lain. Hal ini disebabkan, mereka yang bangun tidur tanpa mengikut jadual yang sistematik mengganggu pengeluaran hormon rangsangan yang bernama cortisol dan gangguan ini menggugat kecergasan mereka.

Hal ini dinyatakan oleh Russel Wild di dalam artikel Eight Easy Ways to beat Fatigue terbitan Reader's Digest bulan Jun 1998. Justeru, umat Islam yang bangun tidur awal bagi bersolat subuh secara rutin setiap hari adalah golongan yang sihat berdasarkan penemuan ini.

No comments:

Post a Comment