Monday, April 5, 2010

HIKMAH SERANGKAI KUNCI

Pada tarikh 12 Mac 2010, ana dan zaujah seperti kebanyakan ibu bapa lain, sama-sama meraikan percutian pertengahan semester pertama. Zaujah telah menyatakan hasrat balik ke Lepih untuk mengambil peluang menjaga ayah yang sedang sakit. Sudah hampir dua bulan ayah terlantar, selama 20 hari di hospital Lepih dan sudah hampir tiga minggu di rumah mak. Abang Njang, Kakak, Kak Zah dan Abang Lias silih berganti menguruskan ayah. Ana dan zaujah hanya dapat memainkan peranan pada hujung minggu sahaja. bagaimanapun ana sangat respect dengan abang njang yang sanggup cuti tanpa gaji sebulan, begitu juga kakak dan abang Lias yang sentiasa sabar menjaga dan menguruskan keperluan ayah yang hanya terbaring, tidak bergerak kecuali helaan nafasnya sahaja yang mengesahkan hayat ayah masih ada. selagi dia bernafas selagi itu tanggungjawab mesti ditunaikan. Ana juga sangat teruja kerana kesudian mak membenarkan ayah dijaga dan diuruskan dirumahnya walaupun mereka sudah tidak punya hubungan suami isteri sejak sekian lama.
Pada 13 Mac 2010 kami bergerak selepas solat subuh di rumah di Sungai Soi menuju ke rumah abah di Ulu Cheka kerana pada 14 Mac 2010, abah mengadakan kenduri perkahwinan anak tirinya. Selesai majlis kami bergerak ke Kg. Lanar untuk menjaga ayah. malam tu mak pesan pada ana, bila time nak tidur " awak nak tidur di mana ?, ana jawab , " tak pasti lagi", mak membalas, pegi tidur dekat ayah awaklah, mak tengok ayah awak tu lain dah gayenye " . Ana menurut cakap emak dan ana tidurlah di sisi ayah bersama kakak dan abang Lias. Tengah malam setelah ana terjaga dari tidur ana dengar abang Lias cakap dengan kakak, " tak boleh tinggal dah ayah ni " lalu ana pun bangun, mandi dan membaca Al Qur'an di sisi ayah sehinggalah waktu subuh. Ana telah membuat keputusan untuk bercuti pada 15 Mac 2010. Pada 16 Mac 2010 ana bergerak untuk pulang ke Kuantan dan dalam perjalanan ana singgah di SMKA TAHAP untuk mendapatkan maklumat peperiksaan SPM 2009. Pengetua bercuti, GPK Pentadbiran datang untuk berbincang mengenai analisis SPM 2009. Target ana selepas ini untuk singgah di SMK Seri Taulang Temerloh untuk membincangkan tawaran Fully KAA. Semasa perbincangan, zaujah ana menelefon menyatakan dia dan anak-anak dah balik rumah di Lepih tapi tak boleh masuk rumah kerana kunci rumah dalam kereta yang ana pandu. Ana cadangkan supaya zaujah pulang semula ke Kuala Lanar, dan tunggu sehingga ana balik. Selesai di SMKA TAHAP, Ustaz Aziz dan Ustaz Wahab Penyelia Pendidikan islam PPD Jerantut ajak ke pejabat. AKhirnya ana buat keputusan tak jadi balik Kuantan dan tidak jadi pergi SMK Seri Tualang dan balik semula ke Kuala Lanar. Petang itu anak sulung ana menelefon dia akan pulang ke Lepih dari Kuala lumpur. Peteng itu juga isteri Abang Baha dan anaknya datang menziarahi ayah. Setelah melihat keadaan ayah Ana mohon izin dengan kakak, abang njang dan mak untuk balik ke Lepih. Ana sekeluarga balik ke lepih, menengok rumah yang dah lama tak dijenguk. Niat ana nak balik semula ke Kuala Lanar dan bermalam bersama ayah tetapi entah macam mana, kami akhirnya tidur di Lepih malam itu.
Pukul 1.30 pagi ana bangun,bersolat isyak dan berzikir dan pada pukul 2.45 pagi kak zah menelefon memaklumkan ayah sudah kembali ke rahmatullah. Terasa sesal ana tidak bermalam di sisi ayah pada malam itu.Bagaimanapun ana bangunkan zaujah dan anak-anak untuk balik ke Kuala Lanar.Anak sulung ana tidak sempat bersama aki nya di penghujung usia. kakak pun menyatakan dia pun tertidur seketika dan terjaga ayah sudah dipanggil oleh Allah menemuinya.
Ana menghubungi ahli keluarga yang sepatutnya dan berbincang dengan kakak dan abang untuk urusan pengebumian pada esoknya. Ana meminta anak sulung membacakan ayat-ayat suci Al Qur'an untuk dihadiahkan kepada rohnya.
Abang menyatakan, " mujurlah awak tak jadi balik ke Kuantan, kalau tidak ! payah juga urusan ini, nak menunggu awak sampai, awak pulak mungkin terkejut dan mungkin tergesa-gesa dalam perjalanan, Syukurlah " . Segalanya kita hanya menyusuri taqdir Allah dan itulah hikmah serangkai kunci sebagai asbab untuk dipermudahkan pengurusan jenazah ayah. dari memandikan, mengkapankan, menyembahyangkan mengebumikan dan mentalqinkan, ana cuba melakukan yang paling baik sebagai hadiah ana kepada arwah. Semoga Allah mengampuni ana, atas segala kekurangan pengurusan itu. Terima kasih juga di atas segala jasa dan pengorbanan ibu, abang njang, kakak, abang Lias, kak Zah, zaujah ana, cucu-cucu arwah , habya Allah yang memberi balasan yang setimpal dan doa serta harapan Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ayah dan ditempatkan bersama para solihin. Al fatihah.

Tuesday, March 23, 2010

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH OLEH ORANG BUKAN ISLAM

Pada tarikh 31 Disember 2009, kita semua dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald – The Katholik Weekley untuk menggunakan kalimah Allah dalam penyampaian mereka. Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.
Bermula dari situ isu ini menjadi polemik dikalangan masyarakat. Ada umat Islam yang sangat sensitif dan emosional bertindak secara agresif, ada yang buat tak kesah, ada yang terpinga-pinga dan kebingungan. Pelbagai pendapat dan pandangan memenuhi ruang media, daripada media massa, media elektronik dan paling popular sekarang di laman-laman sesawang, internet, facebook, masing-masing berhujjah dan berpolemik.

Ada yang mengelirukan, ada yang sesat lagi menyesatkan, implikasinya masyarakat semakin keliru dan tertanya-tanya.

Polemik perlu dilihat pada beberapa sudut dan dibincangkan secara ilmiah supaya masyarakat tidak terus keliru.Ada beberapa aspek yang dijelaskan dengan hujjah yang adil dan bijaksana dan menuntut keikhlasan semua pihak untuk akur dengan kebenaran isu yang ditimbulkan.

1. Pada mulanya isu ini seperti ada agenda tersembunyi yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang berpentingan.Ada setengah pihak yang menjaja isu ini untuk meraih perhatian bahawa mereka adalah juara isu. Melihat sensasi berita yang dipaparkan tidak mustahil ada agenda tersirat di sebalik yang tersurat oleh golongan tertentu yang berkepentingan tadi.

2. Isu ini juga telah menzahirkan dan menyerlahkan kedangkalan dan kecetekan ilmu agama bagi umat Islam. Ada golongan yang cuba menjuarai isu ini melakukan provokasi sehingga tercetusnya suasana tidak terkawal pada sebahagian masyarakat yang dangkal ilmu agamanya. Semangat mereka memuncak sehingga berlaku beberapa tindakan negatif yang boleh mengundang huru hara dan kekacauan. Mereka mula merentang sepanduk dan berkumpul di tempat-tempat tertentu menyatakan perasaan tidak puas yang tidak tahu pangkal punca isu . Sebahagiannya bersemangat berkobar-kobar tapi mereka ini juga yang tidak melaksanakan tuntutan perintah Allah. Mereka sibuk terjerit-jerit menentang penggunaan kalimah Allah tetapi mereka tidak bersembahyang. Mereka tidak menunjukkan akhlak sebagai seorang Islam yang penuh tertib dan berhati-hati dalam menyentuh isu yang sensitif.

3. Isu ini dianggap suatu kemajuan dalam kehidupan beragama kerana orang bukan Islam sudah mula mahu menyebut nama Allah, maka secara positifnya akan terbuka pintu hidayat Allah. Apa salahnya mereka nak menyebut nama Allah, mudah-mudahan dengan sebab itu hidayat Allah akan terpancar ke dalam lubuk jiwa mereka. Lagipun kalimah Allah bukan hak mutlak dan eksklusif umat Islam khususnya di Malaysia.

4. Isu ini juga menempelak umat Islam sendiri yang sudah jauh dengan agama mereka sehingga orang lain sudah mula kembali kepada fitrah beragama.Orang bukan Islam terutama Yahudi dan Nasrani telah mula kembali kepada Allah, orang Islam pula semakin jauh dengan Allah. Mereka telah dilekakan dengan hiburan, sukan dan kehidupan material yang lain sehingga mereka lalai melaksanakan tanggungjawab kepada Allah. Terlalu ramai umat Islam yang lupakan Allah. Dalam satu Jabatan berpuluh orang umat islam tidak menunaikan sembahyang pada setiap hari, dalam sebuah stadium menyaksikan perlawanan sukan berpuluh ribu orang yang sembahyang mereka tergadai, di sebuah bandar beratus dan beribu orang umat Islam yang tidak bersembahyang. Agama Islam adalah agama praktikal bukan teori semata-mata. Kalau tahu menyebut Allah tapi tidak bersembahyang dan melakukan ketaatan kepada perintah Allah yang lainnya, apalah makna Islamnya itu, apakah tidak ada persamaam dengan Herald – The Katholic weekly yang mahu menggunakan kalimah Allah tetapi mereka tidak mengakui kebesaran Allah.

5. Isu ini membuka ruang dan peluang untuk umat Islam kembali memuhasabah diri dan perlu menggali dan mengulang kaji semula khazanah ilmu Islam yang semakin dipinggirkan. Hikmahnya isu ini adalah menyuntik semula motivasi umat Islam supaya mengkaji semula kitab-kitab Islam peninggalan Rasulullah, para sahabat dan ulama’ terdahulu. Mutakhhir ini umat Islam semakin hilang roh munakasyah ilmu. Kalau ada pun tidak dipedulikan sangat oleh umat Islam. Bila isu ini mula dipolemikkan maka adalah segelintir umat Islam yang mula kembali kepada jati diri semarak ilmu ulamak terdahulu.

6. Isu ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam malahan akan merosakkan akidah umat Islam. Memang sepatutnya umat Islam perlu mengambil satu pendirian tegas supaya isu ini tidak di eksploitasi oleh orang bukan Islam yang bertujuan menghancurkan dan memporak purandakan umat Islam.

Melihat kepada enam aspek yang dinyatakan di atas maka diperincikan dengan nas-nas Al Qur’an dan Hadith merumuskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Perkataan Allah adalah lafzul Jalalah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui”. (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:
Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).
“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu “berbilang tuhan”.Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”. (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Saidina Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:
(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.
Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.
Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Rumusannya bahawa perkataan Allah bukan hak mutlak dan eksklusif umat Islam namun penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam boleh menimbulkan banyak implikasi. Jika mengikut kaedah Feqah : menutup terus pintu jika ada perkara yang boleh membawa kepada kekeliruan.Di antara implikasi lain yang akan timbul ialah,kesucian kalimah Allah akan terjejas dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam jika kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam.Umat Islam dituntut melakukan titah perintah Allah dan menjauhi laranganNya di samping umat Islam juga mesti memperkasakan ilmu Islam supaya dapat menjadi umat yang matang dan bijaksana.

Tuesday, January 12, 2010

KERJA SEBAGAI IBADAH - AZAM BARU 1431H/2010M

PENGERTIAN KERJA

Kerja merupakan : Kesungguhan yang dilaksanakan oleh manusia untuk mendapatkan ganjaran atau upah .
Manakala Ibadah bermaksud :Kepatuhan dan ketaatan kita kepada ketinggian dan kekuasaan Allah yang diiringi kesanggupan menyerah diri kepadanya.

Apabila digabungkan keduanya boleh diertikan sebagai tugas dan tanggungjawab untuk meraih pendapatan dan keredhaan Allah.

KERJA SEBAGAI IBADAH

Segala tindakan dan kerja hendaklah berorientasikan ciri-ciri dan nilai-nilai kerja sebagai amal soleh dan bersifat bersepadu antara duniawi dan ukhrawi, rohani dan jasmani.

Surah Al Jumuah Ayat 10 :

" Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)."


KATEGORI KERJA SEBAGAI IBADAT

1.Bekerja untuk keperluan diri.
2.Bekerja untuk keperluan keluarga.
3.Bekerja untuk keperluan masyarakat
4.Bekerja untuk memakmurkan bumi Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada orang mu’min yang bekerja (Hadith)”.

CIRI-CIRI KERJA SEBAGAI IBADAT

1.Niat yang ikhlas.
2.As Siddiq
3.Berteraskan iman dan taqwa.
4.Tidak meninggalkan kewajiban beribadat kepada Allah.
5.Pekerjaan yang halal.
6.Dilaksanakan dengan cekap dan bersungguh-sungguh.
7.Berasaskan prinsip syari’ah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab.
8.Menghasilkan kerja yang berkualiti

IMPAK KERJA SEBAGAI IBADAT

1.Menerima tiga jenis balasan :
i. Mendapat ganjaran yang setimpal
ii.Mendapat nikmat kepuasan bekerja
iii.Mendapat ganjaran pahala
2. Merangsang motivasi kerja.
3. Menjadi seorang yang proaktif dan berintegriti.
4. Sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang kemungkaran dan aktiviti tidak bermoral .
5. Menjadi pekerja yang berprestasi tinggi

TUNTUTAN PENTING DALAM MELAKUKAN IBADAH

1. Memastikan ibadah mempunyai hubungan dengan Allah. Merujuk kepada martabat ihsan dalam ibadah sebagaimana sabda nabi : “ Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya, jika kamu tidak melihatnya (sekalipun ) sebenarnya dia melihat kamu.
2. Melakukan ibadah dengan penuh khusyuk sehingga dapat merasai kelazatan dan kemanisan, malah mendatangkan kekuatan pada diri untuk berterusan mengerjakan.

PRINSIP-PRINSIP MENIGKATKAN PRESTASI KERJA SEBAGAI IBADAT

1. ILMU
2. IKHTIAR
3. ISTIQAMAH
4. ADIL
5. IHSAN
6. TAWAZUN
7. QANA’AH
8. SYURA
9. HALAWATUL IMAN
10. SABIQU ILAL KHAIRAT
11. MENJAUHI KEMUNGKARAN
12. USWATUN HASANAH

Kalau sekedar bekerja, bukankah semua orang melakukan, umat lain melakukannya? Bahkan kaum ateis pun bekerja. Lalu apa bedanya?Tentu ajaran bekerja para Nabi sangat berbeda. Bekerja dalam ajaran Islam adalah manifestasi dari iman. Bekerja adalah sebagai sebahagian dari ibadah. Sedang bagi umat yang lain, mungkin hanya sekedar mengisi waktu, mengejar harta, dll. ( Warsono )

Bertekad dan berazamlah, jadikan tahun baru 1431H/ 2010M dengan azam berkerja sebagai ibadah. Selamat Beribadah dengan semua kerja yang dibenarkan syari'at sepanjang 1431H/2010M.

Wednesday, December 30, 2009

HIJRAH DIRI DAN JIWA

Penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah berlaku didorong oleh beberapa factor iaitu factor menolak dan factor menarik. Faktor menolak di antaranya tekanan yang semakin melampau dari kafir Quraish, penghinaan, cercaan, siksaan malahan ancaman dan kemuncaknya rancangan membunuh nabi . Demi menyelamatkan iman, islam dan akidah maka berlakulah peristiwa hijrah yang bersejarah itu. Factor menarik pula adalah sikap dan kesediaan orang Madinah untuk menerima kedatangan Nabi dan Islam ke bumi Madinah .
Di dalam kehidupan ini kita kadang-kadang terdorong oleh factor menolak dan factor menarik ini untuk melakukan penghijrahan. Bagi diriku factor-faktor ini sangat rapat dengan persekitaran kehidupan yang aku tempuhi. Sewaktu aku tinggal bersama ibu di rumah belakang rumah datukku, hidupku bahagia, gembira, seronok seperti kanak-kanak lain yang tidak pernah ada masalah. Walaupun rumah kampung tanpa bilik, berdinding buluh beratap rumbia dan berlantai papan dan buluh, tidur beralaskan tikar mengkuang aku rasa sangat bahagia.
Seingat aku, tidak pernah aku tidur di rumah ayakku sejak berpisah dengan ibukku. Bila aku memasuki sekolah darjah satu, ayahku sering memasuki kelas aku terutama semasa mata pelajaran seni lukis, kebetulan ayahku bekerja sebagai tukang kebun sambilan di sekolah tempat aku belajar. Lukisan yang ayah lukis dan masih terpahat diingatanku ialah lukisan seekor itik. Waktu itu baru aku terasa kewujudan ayah dalam kehidupanku. Bila balik sekolah aku akan balik ke rumah ibuku seperti kebiasaan. Juadah makan tengah hari yang disajikan oleh ibu adalah sambal bilis masak tempoyak dan ikan seluang goring. Itulah menu makan tengah hari di rumah ibu pada setiap hari, tapi aku tidak pernah bersungut. Pendek kata aku tidak merasakan kepayahan dan kesukaran yang dialami oleh ibuku.
Bila datukku meninggal, rumah datuk diduduki oleh ibu saudaraku yang aku panggil Mak Chu, adik bongsu ibukku berlainan ibu. Mungkin rumah itu hadiah datuk kepada Mak Chu sekeluarga. Setelah beberapa tahun datuk meninggal, aku sudah tidak betah lagi masuk ke rumah peninggalan datuk kecuali jika Mak Chu mempelawa sesekali untuk makan dan bermain dengan sepupuku di rumah tersebut. Lama kelamaan aku mula rasa janggal dan asing untuk datang ke rumah itu. Padahal aku teringin sangat untuk masuk ke rumah itu, rumah itu memang besar dan selesa, tapi apakan daya. Aku hanya bermain di sekitar halaman rumah itu. Terbetik di hati, alangkah indahnya kalau aku adalah penghuni rumah itu. Mungkin kerana aku dah bosan tinggal di rumah beratap rumbia berdinding buluh yang kadang-kadang bocor dan tempias bila hujan turun. Tapi itu hanyalah gejolak perasaan seorang kanak-kanak yang mula meningkat usia.
Sewaktu aku berada dalam darjah tiga, Mak Chu berhijrah ke Jengka kerana menjadi peneroka apabila pembukaan tanah rancangan Jengka. Ibuku membawa kami berpindah ke rumah Mak Chu yang sudah kosong. Menurut Ibu, Mak Chu telah menjualkan tanah dan rumah itu kepada ibu. Aku adalah orang yang paling bahagia, bak kata orang impian menjadi kenyataan.Pastinya tidurku lebih lena dan nyenyak di rumah beratap zink, berdinding papan, berlantai papan, ada ruang dapur berasingan dengan ruang tidur, ada bilik-bilik dan ada beranda tempat aku bermain. Aku tidak pernah ambil peduli dari mana ibu dapat duit untuk bayar harga rumah dan tanah kepada Mak Chu, yang aku tahu ibu menorah getah yang luasnya hanya tiga suku ekar pusaka peninggalan arwah datuk. Sehinggalah pada suatu malam ibu bercerita dengan anak-anaknya selepas makan malam. Menurut ibu hari ini Pak Ngah kamu nak datang ke rumah nak bincang hal rumah dan tanah yang kita tinggal ini. Kamu semua diam-diam dan masuk tidur. Sebenarnya rumah dan tanah ini Mak Chu nak jual kepada ibu dengan harga tiga ratus ringgit, ibu dah bayar lima puluh ringgit. Begitulah cerita ibu kepada kami. Pak Ngah adalah abang sulung ibu yang tinggal di hujung kampung berhampiran rumah peninggalan arwah datuk. Pak Ngah ni, kira orang senanglah di kampong, rumah besar, kebun getah ada, sawah padi ada, kolam ikan pun ada, aku pun kadang-kadang pergi ke rumahnya bermain di sungai berhampiran rumahnya, mengutip buah mempelam gugur dan masa makan di rumahnya.
Malam itu Pak Ngah datang bersama Pak We, seorang lagi adik beradik ibu. Aku mencuri-curi dengar perbualan ibu dengan Pak Ngah dan Pak We. Aku masih ingat Pak Ngah cakap rumah dan tanah ni aku dah beli dan aku dah bayar pada Pesah ( Mak Chu ) lima ratus ringgit. Ibu beritahu Pak Ngah, Mak Chu dah janji jual kepada ibu dengan harga tiga ratus dan dah bayar lima puloh ringgit. Pak Ngah cakap awak lambat sangat, Pesah tu nak pakai duit tunggu awak nak bayar baki tak tau bila. Saya ni orang perempuan, tak ada suami pulak, lambatlah sikit dapat bayar.
Perbincangan tu kadang-kadang tegang dengan suara berbalas-balas cakap dengan suara tinggi, aku tak pasti apa kesudahan perbincangan itu kerana aku sudah tertidur. Sesekali aku terjaga aku terdengar seperti suara ibu menangis tapi aku tidak mampu untuk bantu ibu. Keesokkan hari ibu menyatakan Pak Ngah dah beli tanah ini dari Mak Chu, dan kita kena keluar dari rumah ini, sementara itu Pak Ngah benarkan tinggal di rumah ini sebelum mereka berpindah. Walaupun aku masih sekolah rendah tapi aku dah dapat rasa kecewa, hati ibu lagilah pulak, hancur luluh, abang yang sepatutnya membantunya yang mengalami kesusahan sanggup melakukan tindakan yang tidak bertimbangrasa.
Bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi ibu membuat keputusan untuk pergi ke rumah adik lelaki bongsunya yang tinggal di kampong Dusun Kechau. Akhirnya ibu berangkat meninggalkan kampong dan pergi bersama adik lelaki dan kakakku. Aku dan abang tinggal bersama ayah. Mungkin ada perjanjian antara ibu dan ayah dalam membuat keputusan meninggalkan aku dan abang untuk tinggal bersama ayah. Mungkin kerana aku dan abang masih bersekolah, sedangkan kakak sudah berhenti sekolah sejak mula ayah dan ibu berpisah dan adikku masih belum bersekolah.
Berhijrahlah ibu membawa diri dan jiwa yang lara angkara sikap Pak Ngah yang tamak harta. Disangka saudara boleh membantu bahagia rupanya saudara sendiri mencipta petaka. Berlakulah satu lagi penghijrahan penting dalam kehidupanku, pertama kali berpisah dengan ibu,kakak dan adik dan pertama kali aku tinggal bersama ayah. Faktor menolak penghijrahan ibu sangat berbekas di hatiku, tapi aku yakin, hikmah Allah tetap terbentang di sebalik hijrah ini….. nantikan peristiwa hijrah seterusnya

Thursday, December 24, 2009

PENGHIJRAHAN

Tahun hijrah 1430 sudah melabuhkan tirai dan muncul pula 1431. Bermakna angka usia semakin bertambah dan baki usia kita semakin berkurang. Bagaimanapun bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada kita untuk meneruskan perjalanan kehidupan. Berlalunya tahun demi tahun ini adalah sebahagian daripada proses penghijrahan.
Sebagaimana yang umum sedia maklum bahawa hijrah itu diertikan dengan berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, atau ditafsirkan juga sebagai berpindah dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain, seperti dari sifat buruk kepada sifat yang baik, dari sifat pemarah kepada sifat pemaaf, dari sifat suka membuang masa kepada sifat menghargai masa dan pelbagai keadaan lagi. Semua tafsiran tentang hijrah sentiasa ini berlaku di dalam kehidupan seseorang. Proses hijrah ini sentiasa memberi makna dan pengalaman kepada setiap orang. Malahan ada sesetengah orang merasakan setiap peristiwa yang berlaku di dalam kehidupannya adalah suatu penghijrahan yang telah memindahkan dirinya kepada suatu keadaan yang lebih baik.
Pengalaman hijrah kehidupan aku sangat unik dan menarik untuk dikenang. Sebahagian besarnya telah membentuk diri aku seperti sekarang. Aku masih ingat pengalaman hijrah pertama dalam kehidupanku, berjalan beriringan menuruti belakang ibu,kakak,abang dan adik aku pada waktu malam melalui jalan denai rumah ayah ke rumah datuk yang jaraknya lebih kurang 500 meter. Menurut ibu, usia aku ketika itu 3 tahun. Saya tidak dapat mengingati apa yang berlaku di rumah ayah sebelum perjalanan malam itu, aku cuma ingat berjalan malam, terkedek-kedek di belakang ibu untuk pergi rumah datuk. Keesokannya aku terus berada di rumah datuk bersama ibu, kakak, abang dan adikku. Pada usia 3 tahun aku memang tidak dapat memikirkan permasalahan kehidupan, aku hanya tahu seronok bemain di rumah datuk, bila penat aku tidur, bila lapar aku makan dan bila aku nakal kena marah. Aku tidak dapat mengingati semua peristiwa yang berlaku pada waktu itu, tetapi yang pasti aku telah tinggal di sebuah rumah di belakang rumah datuk aku. Mungkin datuk membangunkan rumah tersebut untuk ibu dan anak-anaknya berteduh dari hujan dan panas.
Bila usiaku meningkat kepada 5 tahun baru aku memahami bahawa ibu dan ayah telah berpisah sebagai suami isteri. Aku masih ingat di hadapan rumah ayah ada tiga pohon limau yang buahnya sangat lebat pada setiap kali musimnya, menurut ibuku pada malam itu ayahku sangat marah kepada kakakku kerana tidak mengawal aku dan abang aku yang memanjat pagar pohon limau dan memetik buah limau yang belum matang. Banyak buah limau yang rosak, apabila ayah dan ibuku balik dari menoreh getah, ayah tengok buah limau banyak rosak.Ayah menyalahkan kakak dan memukul kakak. Kakak dipukul teruk oleh ayah gara-gara buah limau rosak itu. Ibu tidak dapat menerima tindakan ayah memukul kakak secara keterlaluan maka berlakulah perselisihan faham antara ibu dan ayah yang akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa ibu keluar dari rumah ayah dan membawa kami semua dan berlakulah apa yang aku namakan sebagai penghijrahan malam dan merupakan nostalgia penghijrahan pertama dalam hidupku. Sampai kini perjalanan malam itu bermain-main difikiranku.
Bila aku kenangkan semua peristiwa itu, aku membuat rumusan sendiri bahawa dengan hijrah pada malam itu telah mendidik aku menjadi seorang yang tabah dalam menjalani perjalanan hidup.......... to be continue

Wednesday, October 7, 2009

MENGINGATI MATI

Sudah Bersediakah Anda Ketika Dipanggil Pulang Oleh Allah SWT?!!!
Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan!Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan!Dengan kain kafan yang serba putih!Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih....Walaupun orang yang hadir itu merintih....Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai.....Lalu dilaksanakanlah solat JenazahDengan empat kali takbir dan satu salamBerserta Fatihah, Selawat dan doa.....Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu KifayahTapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus....Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud....Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian....Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat....Usunglah dirimu ke tikar Solat....Sebelum kamu diusung ke liang lahad....Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!Iringilah dirimu ke masjid....Sebelum kamu diiringi ke Pusara!Tangisilah dosa-dosamu di dunia....Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'!Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan.. ...Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan!Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!Kerana ianya berguna untuk yang tinggal....Bukan yang pergi!Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan!Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!Ingatlah di mana saja kamu berada.....Kamu tetap memijak bumi Tuhan!Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!Serta menikmati rezeki Tuhan!Justeru bila Dia menyeru,....Sambutlah seruan-Nya Sebelum Dia....memanggilmu buat kali yang terakhirnya!Ingatlah kamu dahulu hanya....setitis air yang tidak bererti!Lalu menjadi segumpal darah!Lalu menjadi seketul daging!Lalu daging itu membaluti tulang!Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti.....Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu....Yang kalau jatuh ke tanah Ayam tak patuk itik tak sudu!Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu.....Yang lebih agung dari malaikat!Lahirmu bukan untuk dunia....Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'....Dengan penuh rela dan bersedia!Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'....Jalan kemenangan akhirat dan dunia!Ingatlah yang kekal ialah amal....Menjadi bekal sepanjang jalan!Menjadi teman di perjalanan.. ..Guna kembali ke pangkuan Tuhan!Pada hari itu tiada berguna....Harta, tahta dan putera....Isteri, kad kredit dan kereta....Kondominium, saham dan niaga....Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!!!" Saling berpesan-pesan untuk kearah kebaikkan"

TANDA 100 HARI SEBELUM HARI MATI!!!!!
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik dihati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

TANDA 40 HARI, Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untukmencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI, Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI, Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI, Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR, Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak.Saling berpesan2lah sesama kita........ .

Saturday, September 26, 2009

KESAN FISIOLOGI SOLAT

Solat adalah ibadat yang dilakukan kerana Allah. Namun sekiranya solat dilakukan secara yang betul dengan penuh khusyuk ia akan mendatangkan kebaikan di pelbagai sudut termasuk di sudut kesihatan.

Semasa melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan melatakkan dahi serta kepala mereka ke bumi. Mengikut kajian, kedudukan ini, sekiranya dilakukan dari masa ke semasa, ia baik baik bagi kecergasan otak. Bagi memahami aspek ini kita perlu mengetahui otak manusia menggunakan 25 peratus daripada oksigen yang terdapat dalam badan walaupun beratnya hanya 3 peratus daripada keseluruhan berat manusia. Dalam keadaan biasa sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekaligus melawan tekanan graviti.

Semasa sujud, umat Islam meletakkan kepala mereka ke bumi dan dalam keadaan begini jantung berada di kedudukan lebih tinggi daripada kepala sekaligus memudahkan darah turun ke otak dibantu oleh tekanan graviti. Dalam keadaan ini otak manusia menjadi lebih cergas dan fokusnya semakin mantap. Peter Russel dalam bukunya The Brain Book berpendapat, " Otak manusia beroperasi 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah ( inverted )."Seorang lagi pakar, Win Wenger, di dalam bukunya How to increase Your Intelligence, mengatakan, aktiviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah ( upside down activities ) meningkatkan kadar oksigen di otak sekaligus, secara fizikalnya, meningkatkan kemampuan otak itu. Sujud umat Islam yang dilakukan paling kurang 17 kali sehari semalam melalui solat fardhu, merupakan aktiviti yang membalikkan badan dari atas ke bawah secara yang amat sederhana. Ia mampu dilakukan oleh semua orang, tidak kira yang tua ataupun muda dan kesannya kepada kesihatan memang tidak dapat disangkal lagi.

Solat juga membantu mengelok dan memantapkan sendi terutamanya bagi mereka yang mengidap penyakit radang sendi seperti osteoarthritis. Dalam artikel Chronic Pain: Exersice Can Bring Relief di MayoClinic.com, pakar-pakar di Mayo Clinic mengatakan senaman secara berterusan adalah penting bagi kesihatan sendi di samping mampu mengurangkan sakit. Hal ini disebabkan senaman meransang pengeluaran hormon endhorpin yang berfungsi mengurangkan deria sakit. Antara senaman yang boleh dilakukan adalah menggerakkan sendi melalui gerak badan dari masa ke semasa. Justeru solat memang bermanfaat kerana ia menggerakkan sendi-sendi badan termasuk tangan dan kaki secara sederhana.Seperti yang dinyatakan sebelum ini, solat fardhu yang lima terikat dengan waktu. Solat yang paling awal perlu dilakukan di waktu subuh, iaitu lebih kurang jam 6.00 pagi waktu di semenanjung Malaysia.

Sesetengah golongan mendakwa perlaksanaan solat subuh melemahkan badan kerana umat Islam terpaksa bangun awal dan ini menganggu tidur mereka. Sebenarnya perlaksanaan solat subuh tidak menjejaskan kesihatan kerana mengikut satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Barah Amerika, mereka yang tidur kurang daripada lapan jam setiap malam adalah lebih sihat daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam.Hasil kajian selama enam tahun yang melibatkan sejuta orang dewasa berumur antara 30 hingga 102 tahun, ini menunjukkan; mereka yang tidur enam hingga tujuh jam secara purata setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur melebihi lapan jam ataupun kurang daripada empat jam setiap malam. Malah kajian ini juga mendapati mereka yang tidur lima jam setiap malam hidup lebih lama daripada mereka yang tidur lebih daripada lapan jam.

Penemuan ini disokong oleh Institiut Kesihatan Kebangsaan Amerika dan ia dimuatkan dalam Archives of General Psychiatry bertarikh 15 February 2002. Di Malaysia, sekiranya seseorang masuk tidur pada jam 11.00 malam dan bangun pada jam 5.30 pagi bagi bertahajjud dan bersolat subuh, tidurnya selama enam setengah jam itu sudah termasuk dalam kategori yang menyihatkan.Lebih daripada itu, kajian menunjukkan mereka yang bangun tidur pada waktu yang sama pada setiap pagi adalah lebih sihat berbanding mereka yang lain. Hal ini disebabkan, mereka yang bangun tidur tanpa mengikut jadual yang sistematik mengganggu pengeluaran hormon rangsangan yang bernama cortisol dan gangguan ini menggugat kecergasan mereka.

Hal ini dinyatakan oleh Russel Wild di dalam artikel Eight Easy Ways to beat Fatigue terbitan Reader's Digest bulan Jun 1998. Justeru, umat Islam yang bangun tidur awal bagi bersolat subuh secara rutin setiap hari adalah golongan yang sihat berdasarkan penemuan ini.